Saturday 21 July 2012

HAJI HUSSAIN BIN KASLAN



HAJI HUSSAIN BIN KASLAN
GURU DAN PENGASAS

SEJARAH RINGKAS

Assalamu'alaikum wr. Wb.
Tahun 1950 adalah titik permulaan dan kejutan bagi saya setelah kejadian rusuhan Natrah dan kejadian itu memberikan satu semangat dan betapa pentingnya Ilmu terutama sekali Ilmu mempertahankan diri yang mengikut saluran kejalan kebenaran semata-mata hanya untuk membela diri.Saya berjumpa dengan anak saudara bernama Akiak tentang minat saya mempelajari Silat yang bersejarah cukup dengan Adat-Istiadat dan pegangan disiplin yang mantap.Lalu dibawa saya kegelanggang Silat Seni Gayong untuk ditemu-duga.
Setelah bertanya beberapa soalan saya diberi penjelasan bawa Seni Gayong tiada pantang larangan hanya mengikut saluran yang ditentukan oleh hukum syaraq dan harus mengikut perintah undang-undang Negara.Saya diberi tempoh dua minggu untuk memikirkan dan memberi jawapan.
Setelah saya mengambil keputusan untuk menjadi ahli maka saya tiba digelanggang bersama empat orang lain,Kami tidak diterima kerana bilangan yang harus menyempurnakan Adat-Istiadat Perlimau tapak harus genap tujuh orang sedangkan kami hanya datang berlima.Jadi saya tidak dapat menceburkan diri saya sabagai ahli Seni Gayong yang sah selagi belum cukup tujuh orang. Setelah mendapatkan tujuh orang maka saya terus mengikuti dan menjalani Adat-Istiadat Perlimau Tapak dengan rakan-rakan yang lain.
Tanpa buang masa saya terus mulakan latihan pada hari itu juga tetapi pada masa itu latihan diadakan secara tersembunyi.
Gelanggang dibahagi kapada beberapa daerah iaitu Balestier,Kampong Saigon (didaerah River Valley),dan Quarters Custom Maxwell Road.
Setelah belajar dua tahun, gelanggang bertambah dan berkembang dicawangan Sekolah Victoria.Selepas itu saya dilantik sabagai jurulatih bahagian Jalan Besar bersama Hj. Buang Bahar.Mahaguru mencari pesilat-pesilat terbaik untuk bergelanggang diluar.Setelah mencari dari beberapa daerah Mahaguru telah memilih saya dan Hj. Buang Bahar untuk mewakili Silat Seni Gayong dalam permainan seni pisau satu setiap kali membuat persembahan diluar bersama 16 orang yang lain.Mereka adalah Hj Fadlan,Hj. Mansur Fadal,Sinwan,Jaafar,Qamari.Suib,Fatimah,Said,Sabariah dan lain-lain.Saya bersama yang lain dibawa keMalaysia kerana menerima undangan dari Tengku Kassim.Buat pertama kali saya peluang berjumpa dengan Sultan Kedah. Penginapan kami di tempatkan diSultan Abdul Hamid Sports Club,Alor Star.
Saya dan sahabat seperjuangan mula mengorak langkah mengembangkan Silat Seni Gayong didaerah masing-masing.
1952
Seramai 52 orang ahli Silat Seni Gayong mengadakan rombongan Lembaga Tetap Kongres keMelaka.Malangnya bas yang saya naiki bersama ahli Gayong yang lain menimpa kemalangan hingga terbalik diBatu Dua,Simpang Renggam.Mujur tiada yang mengalami cedera parah hanya anak saudara saya,Qamari Bin Melan terpaksa dimasukan keHospital kerana memerlukan rawatan.Walau bagaimanapun kami tetap meneruskan perjalanan menggunakan bas lain.Syukur Alhamdulillah persembahan diteruskan dengan berjaya walaupun dengan keadaan yang merunsingkan.Ditahun yang sama juga saya dikurniakan cahaya-mata anak lelaki iaitu Mohd. Rahim yang sekarang menyambung amanah saya.
1953/54
Sekali lagi saya mengikuti rombongan Silat Seni Gayong Singapura keMelaka.Setelah sampai diMelaka saya di undang kerumah Encik Yaman diBukit Lintang. Pada hari yang sama saya dianugerah serta diamanahkan sabagai Pemimpin dicawangan Sekolah Victoria dan diarahkan untuk bertanggung jawab dalam hal perubatan seperti urut-mengurut jika ada anak-anak buah yang cedera.Mahaguru juga mengistiharkan daerah Bakar Sampah sabagai Pusat Latihan Silat Seni Gayong seluroh Singapura.
Pada tahun yang sama Mahaguru berpindah rumah diLorong Fatimah,Woodlands.
Permohonan untuk mendaftar Sekolah Silat Seni Gayong juga diluluskan pada tahun yang sama.Setelah terbentuknya Sekolah Silat Seni Gayong maka Mahaguru adakan kursus untuk orang-orang Kedah yang berminat mempertingkatkan pelajaran Seni Gayong diSingapura.Setelah ada diantara mereka yang ingin menyertai kursus itu,saya diarahkan oleh Mahaguru untuk memimpin mereka.Diantaranya adalah Cikgu Majid, Cikgu Awang dan arwah Ramli.
1959
Cinta saya terhadap seni bukan sahaja tertumpu pada silat malahan saya juga berminat dalam seni drama.Dan dengan sambutan bagitu baik dan dorongan dari rakan-rakan maka saya bertekad untuk menubuhkan persatuan yang diberi nama PERKASA '59.Dengan sokongan padu yang kuat bersama rakan-rakan lain yang berbakat ,kami turut serta dalam beberapa pertandingan Drama setempat dan keputusan-nya amat menggalakan.Drama 'Juragan Budiman' arahan anak saudara saya, Qamari dapat tempat kedua dalam Pertandingan Drama seluroh Singapura anjuran Badan Semangat Baru dan menjuarai satu pertandingan drama setempat dengan drama yang berjodol 'Cincin Parung Sari'.
Setelah menikmati kejayaan demi kejayaan kami diberitahu oleh pihak pendaftar kerajaan tidak bolih menggunakan nama PERKASA '59 kerana nama itu sudah digunakan oleh persatuan sepak takraw terlebih dahulu. Dari itu saya dan rakan-rakan bersepakat untuk berusaha mencari nama yang sesuai.Tetapi aktiviti seni silat dan drama tetap kami teruskan.
1960'an
Silat Seni Gayong Singapura dibawah jagaan saya pergi keStadium Kubu,Melaka untuk menyertai Perdana Gayong seluroh Malaysia.Turut serta bersama saya adalah anak saya,Mohd. Rahim dan pasangan Ahmad Hj. Mohd. Som yang turut membuat persembahan seni keris.Umurnya pada ketika itu adalah dalam lingkungan 10 tahun dan peluang bagi saya memberinya sadikit pendedahan walaupun ketika itu dia bersaing dengan orang-orang yang jauh lebih dewasa darinya.
Pada ke esokan harinya saya bersama orang-orang kampung menyaksikan Mahaguru mengamuk kerana tidak senang dengan beberapa perkara yang terjadi semasa Malam Perdana Gayong.
Pada masa itu Silat Seni Gayong Singapura seringkali membuat persembahan di Kuala Lumpur atas jemputan Dato' Harun Idris dan juga di Hari Sang Sepurba Negara atas jemputan Sultan Perak.
Saya juga di undang oleh Sultan Brunei untuk menjalani Adat-Istiadat Perlimau Tapak untuk adik Baginda beserta dengan Governor dan ketua-ketua askar di-raja Brunei.
Dan saat yang tidak dapat saya lupakan apabila Mahaguru dengan secara peribadi berpesan sabagai amanah untuk saya mencari Makam anak-anak Raja Bugis yang bernama Daeng Marewah dan Daeng Celak di mana pada masa itu payah untuk dijumpai.
1963
Dengan usaha bersama rakan-rakan maka persetujuan ramai telah dibuat untuk menetapkan nama baru persatuan.Maka tertubuhlah persatuan Pertubuhan Anak-Anak Sandiwara Angkatan Kesenian atau nama ringkasnya PASAK.Mereka yang menjadi tulang belakang menerajui PASAK pada ketika itu adalah Capt. Samuri Ibrahim,Arif Zahari,Yahya Bujang,Zainol Yusof dan Qamari Melan.
Pada ketika itu PASAK bagitu aktif dengan seksi Drama,Silat,Musik dan Tarian. Seksi drama PASAK telah mengemukakan saorang dramatis yang berbakat dan hingga hari ini aktif dikaca TV saluran Malaysia.Beliau adalah pelakun veteran S. Sahlan.
Tetapi kekuatan banyak pada Seni Silat dan nama-nama saperti Mahfudz Mahdor,Suradi Sipon,Said Osman,Saadon,Muzakir Ahmad, Kasmui Sibon dan Omar Pakir Maidin masih dalam ingatan saya kerana mereka diantara anak murid tertua saya.
1970an
Atas permintaan dari Mahaguru saya kePusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia diTaiping, Perak untuk mengikuti latihan pesat kursus tali pinggang hitam. Sewaktu disana Mahaguru membawa saya berjumpa Sultan Perak untuk dikenalkan saya sabagai pemimpin Silat Seni Gayong Singapura. Dalam tahun 70an juga saya dianugerah tali pinggang hitam calit 1.
Pindah rumah ke-Sekolah Rendah Tanjung Rhu dan membuka gelanggang Silat. Sambutan ahli-ahli yang mendaftar sungguh menggalakkan.Kebanyakan nya datang dari Geylang, Kampung Amber dan daerah Katong termasuk dua orang anak perempuan Tuan Hj. Yaakob Mohd. Saya mengetuai Silat Seni Gayong (PASAK) Singapura membuat persembahan untuk World Martial Arts Festiival diGay World Stadium,Geylang.Sambutan sangat memerangsangkan kerana jaguh-jaguh BelaDiri SeDunia turut mengambil bahagian.
Yang amat membanggakan diri saya adalah perhatian dunia kapada Silat Seni Gayong amat menggalakan.Memang pesilat-pesilat saya ketika itu kalau main cukup lasak dan ngeri.
Nama Silat Seni Gayong (PASAK) ketika itu sangat harum dan sering dijemput oleh Encik Lee Kuan Yew untuk anak-anak murid saya membuat Perbarisan Hari Kebangsaan diPadang.Sekurang kurangnya 250 orang mewakili Gayong (PASAK) dalam perbarisan itu. Saya juga menerima undangan dari Encik Lee Kuan Yew untuk membuat persembahan Budaya di Istana Negara untuk menyambut kedatangan Queen Elizabeth.Wakil budaya China(Dragon Dance) dan Budaya India(Indian Dance).
Kejadian yang menjadi kenangan pahit bagi saya apabila saya ditimpa kemalangan di daerah Jalan Besar.Bahagian punggung saya di gilis lori 14 kaki setelah saya terjatuh dari motosikal semasa perjalanan pulang dari kerja.Alhamdulillah kerana Allah hendak panjangkan umur saya.Setelah dua minggu saya dibenarkan pulang dari hospital. Tidak lama kemudian saya turun kegelanggang untuk mula mengajar Silat.
Saya bersama anak-anak murid menerima tawaran untuk membuat gambaran filem yang bertajuk 'Asian Warrior.Saya menerima tawaran itu tetapi tidak dapat salinan video untuk simpanan persatuan.
1976
Kerana sejarah tentang Silat Seni Gayong bagitu terkenal maka SSC mencadangkan supaya satu badan induk seni silat ditubuhkan diSingapura.Maka dihantarnya saorang wakil dari SSC menemui saya atas dasar kemampuan dan pengalaman saya dalam bidang persilatan,Maka saya menemui Tuan Hj. Yaakob Mohamad untuk meminta pandangan beliau tentang perkara ini.Setelah disetujui saya dengan sokongan Tuan Hj. Yakob membentuk dan mengasaskan penubuhan PERSISI.
Berhijrah ke-Batu Pahat,Johor.
Anak saya Md Rahim mengambil alih gelanggang-gelanggang yang saya tinggalkan(Pasir Panjang dan gelanggang baru di Ghim Moh).

Membuka gelanggang diSolok Wan Moh dan membentuk Jawatan Kuasa serta Lembaga Waris Beradat.Selama empat tahun penambahan ahli sungguh menggalakan dan Mahaguru sendiri pernah keGelanggang Solok Wan Moh untuk membuat lawatan sambil menyaksikan persembahan anak-anak Gayong dari Singapura dan Batu Pahat.
1980
Mengambil alih tugas dan tanggung jawab sabagai teraju dan memimpin Silat Seni Gayong (PASAK) Singapura kerana pergerakan diSingapura agak lembab tambahan anak saya Md. Rahim menghadapi masaalah masa kerana pekerjaan dan juga masaalah peribadi.
Setelah beberapa tahun menerajui Silat Seni Gayong (PASAK) Singapura. Ahli baru bertambah dan tambahan cawangan diBalai Rakyat sangat menggalakkan.
1988
Membuat rombongan satu bas seramai 40 orang keTaiping,Perak untuk menemui Mahaguru sambil menjalani Majlis Adat-Istiadat penyampaian sandang dan tali pinggang untuk ahli-ahli Gayong (PASAK) Singapura.
1989
Menunaikan fardhu Haji bersama Hj. Sarkawi dan abang beliau,Hj. Marzuki.

1991
Mahaguru meninggal dunia. Pergi menziarah 100 harinya untuk menukar batu insan di pusara Mahaguru bersama Ramli Kasiran, Zaharuddin(Awi) dan 20 orang lagi dengan menaiki satu van.
1991-1995
Coach Team Silat Singapura atas permintaan PERSISI.

Tanda-tangan perjanjian dan syarat persetujuan menjadi Jurulatih Tim Singapura
1999
Serahkan sabahagian tugas-tugas kapada anak saya Md. Rahim. Upacara sederhana untuk pengumuman saya sampaikan diMajlis Penyampaian hadiah Ujian Tahunan di East Coast Campsite.
2000
Pertabalan rasmi anak saya,Md. Rahim untuk menggantikan saya selaku Guru Tertinggi Silat Seni Gayong (PASAK) Singapura. Majlis perasmian serentak dengan sambutan Maulidul Rasul di Perkampungan Melayu.Geylang.
Sejarah yang tidak akan saya lupakan iaitu pertemuan dengan cicit keturunan Daeng Marewah dan Daeng Celak iaitu Pak Hj. Md. Yusuf Bin Osman.(Sila lihat cerita tentang pertemuan ini).
Seringkali membuat lawatan keMakam kedua-dua anak Raja Bugis bersama ahli-ahli SSG(PASAK) yang lain dengan di ketuai oleh Pak Hj.Yusuf.

2002
Mengikuti rombongan SSG (PASAK) Singapura dan Johor ke-Perak,Kedah dan Selangor).Sila lihat aktiviti lawatan muhibbah ke-Malaysia.
2002 selanjutnya
Segala urusan pelajaran dan pengawasan pergerakkan Silat Seni Gayong (PASAK) Singapura ditugaskan kapada anak saya,Mohd. Rahim sabagai penyambung amanah saya.
Selama tiga tahun membawa Barisan Utama Kesenian Gayong (PASAK) ke Chungju World Martial Arts Festival di Korea. Saya merasa bangga dengan keupayaan beliau bersama anak-anak buah yang lain berhasil mengharumkan nama Silat Seni Gayong bukan sahaja sambutan dari penduduk Chungju malahan dari Negara lain yang turut mengambil bahagian.
LUAHAN DARI HATI SEORANG GURU
Walaupun dengan umur dan keadaan saya yang uzur saya masih lagi bertekad dengan izin Allah jua untuk menyampaikan segala Ilmu dan pelajaran kapada anak-anak yang masih memerlukan bimbingan saya terutama sekali yang masih benar-benar taat kapada pegangan Ilmu Silat Seni Gayong. Ya,dzahir saya yang uzur tetapi jiwa saya tetap sihat dengan penglihatan mata hati saya tentang kejujuran anak-anak buah saya yang sudah di imanahkan sabagai pemimpin.
Mata yang Allah kurniakan kapada saya tidak bagitu awas kerana keuzuran saya tetapi hati saya nampak jelas dan terang telatah anak-anak bimbingan saya yang takut memperjuangkan sabagaimana saya perjuangkan kerana takut dengan bayang-bayang mereka sendiri,takut kerugian dalam kehidupan berilmu dan takut kalau diri mereka tidak disanjung dan dipuji.
Beringatlah kapada anak-anak yang mengaku berpuloh-puloh tahun bergiat dalam Seni Gayong. Lama tinggal lamanya sahaja tetapi hati dan jiwa tetap kosong,Ambil iktibar dengan kejadian yang menimpa rakan-rakan yang keluar dari Seni Gayong (PASAK) kerana masaalah sikap dan seringkali mengaku dirinya orang lama dalam Gayong tetapi kecundang kerana tidak mengikut tuntutan Ilmu.Yang dia mahu adalah Ilmu Silat Seni Gayong yang saya sampaikan kapada mereka mengikut kemahuan selera dan nafsunya sahaja.
Kapada anak-anak Seni Gayong bimbingan saya yang masih bergiat terutama Gurulatih-Gurulatih yang memegang amanah atas ikrar dan perjanjian kamu dengan nama Allah dan Rasul jika Ilmu dan pelajaran yang saya sampaikan adalah asli dan tulin, mengapa kamu tidak dapat memelihara dan menyampaikan yang sama.
Tiada perbezaan antara orang dahulu dengan orang sekarang.Kalau orang dulu mempunyai empat kerat kurnia dari Allah bagitu juga dengan orang sekarang.Kalau orang dulu bolih melompat tendang hingga ketinggian 8 atau 9 kaki mengapa orang sekarang hanya 5 kaki sahaja.Kalau orang dahulu bolih buat lompatan Harimau Manghambur Mangsa melepasi 12 atau 13 mengapa sekarang 9 orang sahaja.Mengapa orang dahulu berani mengelak lontaran tombak yang ditujukan kearahnya tetapi orang sekarang tidak mahu.Malahan permainan-permainan yang dipersembahkan dalam pertandingan kesenian antara cawangan Seni Gayong (PASAK) sekarang banyak berunsur pembohongan dan tidak lojik,tidak waras dan tidak ngeri.Yang ada langsung tiada menggunakan tenaga. Saya sudah nampak banyak ahli-ahli baru yang berminat dengan permainan Kesenian Seni Gayong malahan mereka yang dahulunya berminat sangat dengan olahraga sekarang cenderong dengan Kesenian Gayong kerana keyakinan dan minat mereka membiasakan diri dengan senjata tajam. Kata mereka tiada guna kalau mengaku belajar silat kalau tidak pandai dan berani menghadapi senjata.Mungkin dengan kata-kata itu mereka baru bangkit dalam kesedaran.Dan ingin saya menambah sadikit tentang senjata asli iaitu keris dimana saya perhatikan semakin lama saolah-olah sudah diabaikan.Tiada guna kalau kita belajar silat kalau tidak pernah menggunakan nya dan mempelajari permainan nya.
Melihat keadaan sekarang anak-anak yang masih kecil dah berminat untuk mengenakan pakaian silat malahan ingin mempelajari silat sekalipun mereka belum kenal apa erti tata-susila,amanah,pegangan dan sebagainya.Namun hasrat dan keinginan mereka berlainan.Ada yang belajar kerana ikut kawan,ada pula yang belajar kerana kemahuan orang tua supaya anak-anak ini sekurang-kurangnya ada aktiviti.Bagi saya itu tidak penting Yang penting adalah penglibatan mereka untuk berjinak-jinak dengan Seni Gayong supaya perkenalan ini akan menguatkan lagi pegangan kerukunan dalam hidup terutama menghurmati dan taat kapada kedua ibubapa yang mana sekarang banyak kejadian anak yang derhaka kapada kedua ibubapa.Kalau ini kedudukan nya tiada guna berilmu walaupun setinggi langit.
Kapada pemimpin-pemimpin muda Silat Seni Gayong (PASAK) kamu akan menghadapi cabaran yang hebat dan harus bersedia menghadapi dengan bijaksana untuk memimpin anak-anak sekecil ini,Walaupun mereka tidak bagitu lasak tetapi segala kekasaran dalam Seni Gayong bolih dilembutkan tanpa mengubah keaslian gerak dan permainan nya asalkan tidak membosankan dan mengelirukan mereka. Hari demi hari mereka membesar dan sadikit demi sadikit dengan keaslian gerak dan permainan Seni Gayong yang lembut tadi dipraktikan dengan kekasaran mengikut kemampuan mereka.Insya Allah mereka dapat melakukan.
Selagi hayat dikandung badan dan selagi diperlukan, saya tidak mahu melihat anak-anak bangsa dan agama melencong ke kancah-kancah dan campuran yang tidak berfaedah.
Dengan sendiri mereka akan hilang pedoman sabagai anak-anak yang menghurmati dan taat kapada kedua ibubapa.
Wahai anak-anak bangsa ku,agama ku. Jauhi diri kamu dari sikap durjana terhadap kedua orang tua kamu dan jika kamu berilmu,berilmulah dengan berguru dan jauhi dari penderhakaan.
Carilah ilmu walau dimana kamu berada.Untuk mendapatkan ni'mat nya, amalkan dan laksanakan dengan hati dan jiwa yang suci dan bersih,ikhlas dan sabar.Insya Allah yang berat menjadi ringan,yang payah menjadi mudah dan bagitu juga pegangan (tradisi Gayong) yang dipandang kuno dan kolot ini akan terasa indah nya.
Indah dengan penglihatan dihati bukan nya pandang memandang dengan mata yang kasar. Belajar, terus belajar, terus belajar dan apabila dewasa kelak tuntut Ilmunya hingga dalam genggaman.
Ya Allah,lindungi dan selamatkan cicit-cicit Seni Gayong ku ini, tetapkan iman mereka, pertingkatkan hidayah dan keyakinan mereka serta terangkan hati mereka dalam segala pelajaran.
- Amin.
Ampun dan maaf atas segala penyampaian dan kata-kata yang tidak saya sedari kesilapan dan kesalahan nya. Sekian.Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah Assalamu'alaikum wr. wb.
Terima kasih.
Hj. Hussain Bin Kaslan.
(Wakil Mutlak Dato' Meor A. Rahman B. Daeng Uda Md. Hashim D.P.C.M.)
Pengasas, Silat Seni Gayong (PASAK) Singapura dan Serantau.
Kapada sesiapa yang ingin menghubungi saya, sila email Mohd Rahim: morabh52@gmail.com.

HAJI HUSSAIN GURU TERSAYANG
NAGA BORA NAMA GELARAN
JASA BUDI MU TETAP DI KENANG
PENGABDIAN MU KAMI MULIAKAN
- Mohd Rahim Hj. Hussain
Penulis: Hj. Hussain bin Kaslan


 Sumber petikan dari internet

No comments:

Post a Comment